Tuesday, 12 February 2013

ZIKIR PAGI DAN PETANG



Yang dimaksudkan dengan zikir pagi hari iaitulah zikir yang dibaca selepas solat Subuh sehinggalah sebelum terbitnya matahari. Manakala zikir petang pula adalah zikir yang dibaca selepas solat ‘Asar sehinggalah sebelum tenggelam matahari. Dalam masa yang sama sekiranya seseorang terlepas dari membaca zikir-zikir ini dalam waktu yang ditetapkan disebabkan halangan, maka tidak mengapa jika dibaca diluar dari waktunya.[1] Antara doa-doa tersebut ialah:

1. Daripada ‘Uthman bin ‘Affan RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: “Tiada seorang hambapun pada setiap pagi dan petang yang mengucapkan:

بِسْمِ اللهِ الَّذِيْ لاَ يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي اْلأَرْضِ وَلاَ فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ

Mafhumya: Dengan nama Allah yang sesiapa berlindung dengannya, tiada sesuatupun yang dapat memberi mudharat kepadanya di langit mahupun di bumi, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. sebanyak tiga kali, tidak akan memudharatkanya sesuatupun.”[2]

2. Al-Imam al-Tirmizi meriwayatkan: “Sesiapa yang pada petang hari mengucapkan tiga (3) kali:

أَعُوْذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

Mafhumnya: Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna, dari setiap kejahatan yang ada” dia tidak akan disengat[3] pada malam tersebut.”[4]

3. Daripada ‘Abdullah bin Khubaib RA katanya: “Kami pernah keluar pada suatu malam ketika hujan dan sangat gelap mencari Rasulullah SAW untuk baginda menunaikan solat bersama kami, lalu kami menemui baginda, baginda bersabda: “Katakan!” namun aku tidak mengucapkan sesuatupun. Kemudian baginda bersabda lagi: “Katakan!” namun aku tidak mengucapkan sesuatupun. Kemudian baginda bersabda lagi: “Katakan!” lalu aku bertanya: Wahai Rasulullah, apa yang perlu aku ucapkan? Baginda bersabda: “Bacalah قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ dan dua surah pelindung (قُلْ أَعُوْذُ بِرَبِّ اْلَفَلَقِ dan قُلْ أَعُوْذُ بِرَبِّ النَّاسِ) ketika petang dan pagi tiga kali, perkara itu memadai untukmu dari setiap perkara.”[5]

4. Daripada Syaddad bin Aus RA, Nabi SAW bersabda: “Penghulu al-Istighfar ialah dengan mengucapkan:

اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّيْ لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنِيْ وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوْءُ بِذَنْبِيْ فَاغْفِرْ لِيْ فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ.

Mafhumnya: Ya Allah! Engkau adalah Tuhanku[6], tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkaulah yang menciptakan aku. Aku adalah hambaMu. Aku sentiasa setia pada perjanjianku denganMu semampuku. Aku berlindung denganMu dari kejahatan yang aku lakukan. Aku mengakui kepadaMu banyaknya nikmatMu kepadaku dan aku mengakui juga banyaknya dosaku, oleh karena itu, ampunilah daku. Sesungguhnya tiada yangmengampuni dosa kecuali Engkau. Sesiapa yang mengucapkan istighfar ini pada siang hari (pagi hari), membenarkan dan berkeyakinan dengan isi kandungannya, jika dia mati pada hari tersebut sebelum petang, maka dia termasuk dari kalangan penghuni Syurga. Dan sesiapa yang mengucapkannya pada malam hari, membenarkan dan berkeyakinan dengan isi kandungannya, jika dia mati sebelum pagi hari, maka dia termasuk dari kalangan penghuni Syurga”[7]

5. Daripada ‘Abdullah bin Mas’ud RA katanya: “Dahulunya Nabi Allah SAW ketika petang hari akan mengucapkan:

أَمْسَيْنَا وَأَمْسَى الْمُلْكُ لِلَّهِ، وَاْلحَمْدُ لِلَّهِ، لَاإِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرُ، رَبِّ أَسْأَلُكَ خَيْرَ مَا فِيْ هَذَهِ اللَّيْلَةِ وَخَيْرَ مَا بَعْدَهَا، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا فِيْ هَذَهِ اللَّيْلَةِ وَشَرِّ مَا بَعْدَهَا، رَبِّ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْكَسَلِ وَسُوْءِ الْكِبَرِ، رَبِّ أَعُوْذُ بِكَ مِنْ عَذَابٍ فِي النَّارِ وَعَذَابٍ فِي الْقَبْرِ

Mafhumnya: “Kami telah memasuki waktu petang dan kerajaan hanya milik Allah, segala puji bagi Allah. Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya. BagiNya kerajaan dan bagiNya pujian. Dialah Yang Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Wahai Tuhan, aku mohon kepadaMu kebaikan di malam ini dan kebaikan sesudahnya. Aku berlindung kepadaMu dari kejahatan malam ini dan kejahatan sesudahnya. Wahai Tuhan, aku berlindung kepadaMu dari kemalasan dan dari kejelekan di hari tua. Wahai Tuhan! Aku berlindung kepadaMu dari siksaan Neraka dan kubur.”

Jika doa ini dibaca pada waktu pagi, lafaznya adalah seperti berikut:

أَصْبَحْنَا وَأَصْبَحَ الْمُلْكُ للهِ، وَاْلحَمْدُ لِلَّهِ، لَاإِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرُ، رَبِّ أَسْأَلُكَ خَيْرَ مَا فِيْ هَذَا الْيَوْمِ وَخَيْرَ مَا بَعْدَهُ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا فِيْ هَذَا الْيَوْمِ وَشَرِّ مَا بَعْدَهُ، رَبِّ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْكَسَلِ وَسُوْءِ الْكِبَرِ، رَبِّ أَعُوْذُ بِكَ مِنْ عَذَابٍ فِي النَّارِ وَعَذَابٍ فِي الْقَبْرِ

Mafhumnya: “Kami telah memasuki waktu pagi dan kerajaan hanya milik Allah, segala puji bagi Allah. Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya. BagiNya kerajaan dan bagiNya pujian. Dialah Yang Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Wahai Tuhan, daku mohon kepadaMu kebaikan hari ini dan kebaikan sesudahnya. Aku berlindung kepadaMu dari kejahatan hari ini dan kejahatan sesudahnya. Wahai Tuhan, daku berlindung kepadaMu dari kemalasan[8] dan dari kejelekan di hari tua[9]. Wahai Tuhan! Aku berlindung kepadaMu dari siksaan Neraka dan kubur.”[10]

6. Diriwayatkan oleh Ibn al-Sunniy daripada Abu Darda’ RA, Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang setiap pagi dan petang mengucapkan:

حَسْبِيَ اللهُ لاَ إِلَـهَ إِلاَّ هُوَ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَهُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيْمِ.

Mafhumnya: “Memadailah bagiku dengan Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, kepadaNya aku bertawakal. Dialah Tuhan yang menguasai ‘Arsy yang agung, dibaca sebanyak tujuh kali, Allah akan mencukupkan apa yang dikehendakinya dari urusan dunia dan akhirat.”[11]

7. Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang pada pagi dan petang hari mengucapkan:

سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ

Mafhumnya: Maha Suci Allah dan dengan segala pujian untukNya, seratus kali (100 kali), tidak akan datang pada hari kiamat seseorang lain membawa sesuatu yang lebih utama berbanding dengan apa yang dia bawa, melainkan seseorang lain yang datang dengan membawa ganjaran seperti yang dia baca atau orang itu membaca lebih daripadanya.”[12]

8. Di dalam Sunan al-Tirmizi, Abu Daud dan yang lainnya, Nabi SAW mengajar para sahabat baginda dengan berkata: “Apabila seseorang daripada kamu berada pada pagi hari hendaklah dia mengucapkan:

اَللَّهُمَّ بِكَ أَصْبَحْنَا، وَبِكَ أَمْسَيْنَا، وَبِكَ نَحْيَا، وَبِكَ نَمُوْتُ وَإِلَيْكَ النُّشُوْرُ.

Mafhumnya: “Ya Allah, dengan nikmat dan pertolonganMu kami dapat memasuki waktu pagi, dan dengan nikmat dan pertolonganMu kami memasuki waktu petang. Dengan nikmat dan pertolonganMu kami hidup dan dengan kehendakMu kami mati. Dan kepadaMu kebangkitan (bagi semua makhluk pada hari kiamat).” Apabila petang hari hendaklah dia ucapkan:

اَللَّهُمَّ بِكَ أَمْسَيْنَا، وَبِكَ أَصْبَحْنَا، وَبِكَ نَحْيَا، وَبِكَ نَمُوْتُ وَإِلَيْكَ الْمَصِيْرُ.

Mafhumnya: “Ya Allah, dengan nikmat dan pertolonganMu kami dapat memasuki waktu petang, dan dengan nikmat dan pertolonganMu kami memasuki waktu pagi. Dengan nikmat dan pertolonganMu kami hidup dan dengan kehendakMu kami mati. Dan kepadaMu kebangkitan (bagi semua makhluk pada hari kiamat).”[13]

9. Abu Hurairah meriwayatkan, Abu Bakr RA pernah bertanya kepada Nabi SAW:"Wahai Rasulullah ajarkan kepada saya bacaan yang perlu saya baca pada pagi dan petang hari, sabda Nabi SAW, bacalah:

اللَهُمَّ فَاطِرَ السَّمَوَاتِ وَاْلأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، رَبَّ كُلِّ شَيْءٍ وَمَلِيْكَهُ، أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، أَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ نَفْسِيْ وَشَرِّ الشَّيْطَانِ وَشِرْكِهِ.

Mafhumnya: ”Ya Allah, Tuhan Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui, Yang Maha Mengetahui perkara yang ghaib dan nyata, Tuhan dan Raja kepada setiap sesuatu. Aku bersaksikan bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Dikau, daku memohon perlindungan denganMu dari kejahatan diriku dan dari kejahatan syaitan dan sekutu-sekutunya.” Di dalam riwayat lain ada tambahan:

وَأَنْ أَقْتَرِفَ عَلَى نَفْسِيْ سُوْءًا، أَوْ أَجُرَّهُ إِلَى مُسْلِمٍ

Mafhumnya: ”dan aku (berlindung denganMu) dari berbuat kejahatan terhadap diriku sendiri atau mengenakannya kepada muslim lain.” Seterusnya baginda bersabda: “bacakan bacaan ini ketika waktu pagi dan waktu petang dan apabila engkau mendatangi tempat tidur.”[14]

10. Daripada Abdullah bin ‘Umar RA katanya: “Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan ungkapan-ungkapan doa ini ketika petang dan pagi:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي وَدُنْيَايَ وَأَهْلِي وَمَالِي، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي ، وَآمِنْ رَوْعَاتِي، اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنِ يَدَيَّ، وَمِنْ خَلْفِي، وَعَنْ يَمِينِي، وَعَنْ شِمَالِي، وَمِنْ فَوْقِي، وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي

Mafhumnya: “Ya Allah sesungguhnya aku memohon keselamatan di dunia dan di akhirat, Ya Allah sesungguhnya aku memohon keampunan dan keselamatan agama dan dunia, ahli keluarga dan harta bendaku. Ya Allah tutupilah keaibanku, amankan daku dari semua ketakutan. Ya Allah peliharalah daku dari kemerbahayaan dari hadapan, dari belakang, dari sebelah kanan, dari sebelah kiri, dan dari arah atasku. Aku juga memohon perlindungan dengan keagunganMu dari bala bencana dari bawahku.”[15]

11. Di dalam Musnad Ahmad, hadis dari Abu Hurairah RA katanya: “Rasulullah SAW bersabda, siapa yang mengucapkan:

لاَ إِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرُ

Mafhumnya: “Tiada Tuhan (yang berhak disembah) kecuali Allah, Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagiNya. BagiNya kerajaan dan pujian. Dia Mahakuasa atas segala sesuatu, siapa yang membacanya sepuluh (10) kali pada pagi hari, Allah catitkan untuk seratus (100) kebaikan, dan dihapuskan darinya seratus (100) kejahatan, dan untuknya pahala seumpama memerdekakan seorang hamba, dan dia dipelihara pada hari tersebut sehingga ke petang hari. Sesiapa yang membacanya pada petang hari, ia akan memperolehi kelebihan seperti itu jua.”[16]

Zikir ini juga boleh dibaca seratus kali (100 x) setiap pagi[17] seperti yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah RA yang bermaksud:

“Sesiapa yang mengucapkan:

لاَ إِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرُ

Seratus kali – 100 x – dalam sehari, baginya pahala seperti memerdekakan sepuluh – 10 – orang hamba, dicatitkan untuknya seratus kebaikan, dihapuskan seratus kejahatan dan dipelihara dari syaitan pada hari itu sehingga petang, dan tidak ada seseorang lain yang melakukan sesuatu yang lebih baik dari apa yang dilakukannya (dengan zikir tersebut), melainkan seorang lelaki yang melakukan (mengucapkanzikir tersebut) lebih banyak dari apa yang diucapkannya. Dan sesiapa yang mengucapkan:

سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ

Mafhumnya: “Maha Suci Allah dan dengan segala pujianNya” dalam sehari seratus kali, dihapuskan kesalahan-kesalahannya, sekalipun sebanyak buih di lautan.[18]

12. Daripada Abdul Rahman bin Abza (عبد الرحمن بن أبزى) RA yang berkata: Dahulunya Nabi SAW apabila pagi hari akan mengucapkan:

أَصْبَحْنَا عَلَى فِطْرَةِ اْلإِسْلاَمِ، وَكَلِمَةِ اْلإِخْلاَصِ، وَعَلَى دِيْنِ نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَعَلَى مِلَّةِ أَبِيْنَا إِبْرَاهِيْمَ حَنِيْفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِيْنَ.

Mafhumnya: “Kami berada pada pagi hari dalam keadaan berpegang dengan fitrah (agama) Islam, dan kalimah al-Ikhlas[19], dan di atas agama Nabi kami Muhammad SAW, dan agama datuk kami Ibrahim, yang berdiri di atas jalan yang lurus, Muslim dan beliau bukanlah tergolong dari orang-orang musyrik.”[20]

13. Dari Ummu Salamah, Isteri Nabi SAW katanya: bahawa Nabi SAW selepas solat Subuh, sebaik sahaja memberi salam akan mengucapkan:

اللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلًا مُتَقَبَّلًا

Mafhumnya: “Ya Allah daku memohon kepadaMu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.” [21]

14. Dari Juwairiah RA, Nabi SAW pernah keluar dari sisinya pada awal pagi waktu Subuh pergi ke masjid, ketika itu Juwairiah berada di tempat solatnya. Kemudian baginda pulang setelah masuk waktu Dhuha, beliau masih duduk di tempat solatnya, lalu baginda bersabda: Kamu masih berada seperti keadaan ketika aku meninggalkan mu tadi? Beliau menjawab: Ya. Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya tadi aku telah ucapkan empat kalimat sebanyak tiga kali |3x|, sekiranya kalimat itu ditimbang dengan apa yang kamu baca dari tadi, sudah tentu kalimat yang aku baca tadi lebih berat, iaitulah:

سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ عَدَدَ خَلْقِهِ، وَرِضَا نَفْسِهِ، وَزِنَةَ عَرْشِهِ، وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ

Mafhumnya: “Maha Suci Allah dan dengan segala pujianNya sebanyak bilangan makhlukNya[22], seperti keredhaanNya[23]
seberat timbangan arasyNya dan sebanyak tinta tulisan kalimatNya


[1] Fiqh al-Ad’iyah wa al-Azkar oleh al-Syeikh ‘Abd al-Razzaq bin ‘Abd al-Muhsin al-Badr
[2] Abu Daud, bil: 5088. Al-Tirmizi, bil: 3388. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’, bil: 6426.
[3] Asal lafaz hadis menyebut: حُمَةٌ iaitulah patukan setiap binatang berbisa seperti Kalajengking dan seumpamanya.
[4] Al-Tirmizi, bil: 3604. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’, bil: 6427.
[5] Abu Daud, bil: 5082. Al-Tirmizi, bil: 3575. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalm Sahih al-Targhib, bil: 649.
[6] Kalimah رَبٌّ yang diterjemahkan sebagai Tuhan membawa maksud Tuhan Yang Mencipta, Yang Memiliki, Yang Mentadbir dan Yang Memberi Rezki.
[7] Sahih al-Bukhari, bil: 6306.
[8] Dimaksudkan dengan “kemalasan” di sini iaitulah tiada dorongan diri untuk melakukan amalan kebaikan dalam keadaan ada kemampuan melakukannya, ia berbeza dengan orang yang tiada kemampuan, dimana mereka dianggap memiliki keuzuran.
[9] Dimaksudkan dengan “kejelekan hari tua”, iaitulah perkara yang menyusul apabila tua seperti nyanyok, banyak kekeliruan dan seumpamanya terdiri dari perkara-perkara yang buruk.
[10] Muslim, bil: 2723
[11] ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah, bil: 71. al-Albani menilai riwayat ini Sahih kepada Abu Darda’, dan perkara seumpama ini tidak akan dinyatakan oleh Abu Darda’ dari semata-mata pandangannya, melainkan ia datang dari Nabi SAW.
[12] Muslim, bil: 2692. Zikir seumpama ini dianjurkan dihitung dengan jari-jemari berdasarkan perbuatan Nabi SAW dan ia lebih memurnikan niat. ‘Abdullah bin ‘Amr berkata: رَأَيْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَعْقِدُ التَّسْبِيْحَ بِيَمِيْنِهِ bermaksud: “Aku melihat Rasulullah SAW menghitung ketika bertasbih dengan jari-jemari tangan kanan baginda.” (Abu Daud, bil: 1502. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Abu Daud, bil: 1330)
[13] Al-Tirmizi, bil: 3391. Abu Daud, bil: 5068. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’, bil: 353.
[14] Al-Tirmizi, bil: 3392, 3529. Abu Daud, 5067, 5083. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Tirmizi, bil: 2701.
[15] Abu Daud, bil: 5074. Ibn Majah, bil: 3871. Dinilai Sahih oleh al-Albani RH di dalam Sahih Ibn Majah, bil: 3121.
[16] Al-Musnad, 2/360. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam al-Sahihah 6/1/136-137.
[17] Kata al-Syeikh ‘Abdul Razaq bin ‘Abdul Muhsin al-Badr: zikir ini bukanlah dikhususkan pada waktu pagi sahaja, akan tetapi memelihara zikir ini pada pagi hari adalah lebih afdhal, kerana padanya ada unsur bersegera melakukan kebaikan, dan memperoleh pahala dan dipelihara dari syaitan pada permulaan hari, kerana itu para ulama memasukkanya di dalam zikir pada pagi hari.”
[18] Al-Bukhari, bil: 3293. Muslim, bil: 2691.
[19] Kalimah al-Ikhlas adalah Kalimah Tauhid لاإله إلا الله
[20] Musnad Ahmad, 3/407. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’, bil: 4674
[21] Musnad Ahmad 6/322. Sunan Ibn Majah, bil: 925. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Ibn Majah, bil: 753.
[22] Tasbih dan Pujian yang layak kepada Allah SWT, yang tidak mampu dihitung dan dikira.
[23] Tasbih dan Pujian yang menandakan keagungan dan kemuliaan Allah menyamai keredhaanNya SWT, iaitulah yang tidak ada penghujungnya

No comments:

Post a Comment