Menurut Syeikh Hakim Moinuddin Chisti, kita akan mendapat 10 kebaikan kesan dari berzikir. Antaranya ialah:
1. Dapat membentengkan diri daripada bisikan syaitan.
2. Orang yang berzikir akan dilimpahi keredaan Allah
3. Dimurahkan ruang rezekinya
4. Membangkitkan aura sahsiah peribadi murni
5. Menghidup dan menjernihkan hati.
6. Mukmin yang senang berzikir itu akan mencapai taraf hampir dengan Allah
7. Mengelakkan diri daripada sifat mazmumah seperti mengumpat dan mengeji
8. Berupaya membina fikiran yang positif dan dinamik
9. Bersedia untuk hidup penuh berani
10. Dapat menenggelamkan sifat munafiq
Pesan Imam Al-Bukhari: ‘Zikir adalah tugas harian setiap Muslim kerana ia mendatangkan kekuatan dan ketenangan. Berzikirlah setiap masa agar Allah sentiasa ingatkan kita setiap masa.’ Demikian indahnya wasiat beliau kepada kita semua. Biasakanlah hati dan lidah kita berzikir kepada Allah kerana inilah yang dituntut Allah kepada kita.
Allah ada berfirman dalam Surah An-Nisa’ ayat 103 yang bermaksud: ‘Kemudian apabila kamu selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah ketika kamu berdiri atau duduk, dan ketika kamu berbaring.’
Insya-Allah melalui zikir kita dapat menyembuhkan penyakit hati daripada karat debu dosa yang dilakukan. Berzikir juga Allah janjikan akan mengangkat darjatnya seperti dikatakan oleh Rasulullah SAW: “Apakah kamu mahu aku ceritakan kepadamu berkenaan amal perbuatanmu yang terbaik dan yang paling bersih dalam pandangan Allah serta orang yang tertinggi darjatnya di antara kamu, yang lebih baik dari bersedekah emas dan perak serta lebih baik dari memerangi musuh kamu semua dan memotong leher mereka, dan mereka juga memotong leher kamu!” Kemudian sekalian sahabat bertanya: “Apakah itu wahai Rasul?” Baginda SAW menjawab: “Zikir kepada kepada Allah.” – Hadis riwayat Al- Baihaqi
Allah sangat menyukai orang yang lidahnya sentiasa basah dengan zikrullah. Ingatlah bahawa Allah sudah menjanjikan ganjaran pahala yang banyak kepada orang yang berzikir. Hal itu jelas apabila Allah berfirman yang bermaksud: “Golongan lelaki dan wanita yang banyak berzikir kepada Allah, Allah janjikan bagi mereka keampunan serta ganjaran yang besar.” – Surah Al-Ahzab ayat 35
No comments:
Post a Comment