Saturday, 4 August 2012

DOA PENERANG HATI


Doa penerang hati

Untuk menerangkan hati, doa yang harus dibaca ialah:


Cara 1:
1. Surah al-Fatihah 7 kali
2. Surah al-Insyirah (Alam nashrah hingga habis) 1 kali
3. Doa penerang hati seperti dibawah







Boleh dibaca pada air untuk dijadikan air penerang hati, tetapi harus diingat air hanyalah sebagai medium pengubatan, yang memakbulkan adalah Allah SWT. Air yang boleh digunakan ialah air zam-zam, air jernih biasa yang dibacakan surah Yaasin oleh 40 orang atau lebih, air mineral, air RO, air hujan malam Jumaat, serta lain-lain air mutlak yang jernih dan suci.

Cara 2

Amalan nama - nama Allah atau Asma'ul Husna untuk mendapat hati yang terang, memori yang mantap, fikiran yang cerdas serta cepat memahami tentang perkara dan segala ilmu yang dipelajari :
1.     Ya Hakiim
        Dibaca sebanyak 300 kali selepas solat Subuh dan Maghrib. Lalu berdoa, Insya'Allah akan   dikurniakan kecerdasan.
2.     Ya Ba'ith
         Dibaca sebanyak 100 kali sehari, hati akan menjadi terang dan bersih. Pengamalnya akan memperolehi ilmu dan hikmah (kebijaksanaan).
3.     Ya Mubdi'u
        Dibaca sebanyak 470 kali setiap hari untuk mencapai kejayaan dalam setiap usaha yang dijalankan, fikiran menjadi kreatif, cerdas dan jernih.
4.     Ya Maajid
        Dibaca sebanyak 400 kali setiap hari, akan dikurniakan akal yang cerdas, fikiran yang tajam dan hati yang bersih.
5.     Ya Rashiid
        Dibaca sebanyak 1,000 kali di antara Maghrib dan Isyak. Pengamalnya akan dianugerahkan kepintaran, ketajaman fikiran dan kepandaian.
6.     Ya Rahman
         Dibaca selepas sembahyang Maghrib dan Subuh dengan sebanyak-banyaknya. Pengamalnya akan dihilangkan penyakit lupa, dianugerahkan fikiran yang terang, akal yang kuat dan tidak mudah kelam-kabut.
7.     Ya Muhaimin
         Dibaca selepas solat Isyak akan kuat dalam menghafaz sesuatu dan hilang kelupaannya.


Cara 3

ILMU GENIUS YANG DIAJAR OLEH RASULLULLAH S.A.W.
Pada suatu hari Saidina Ali r.a. mengadu kepada Rasullullah s.a.w. mengenai kelemahannya dalam mengingati sesuatu. Lalu Rasulullah s.a.w. mengajarkan suatu amalan yang sungguh agung. Sekiranya diamalkan dengan tekun dan bersungguh-sungguh, pengamalnya akan memiliki ingatan yang tidak akan lupa perkara-perkara yang telah diingati. Amalan ini dibaca sebanyak 40 kali setiap selesai sembahyang Subuh dan Asar pada setiap hari :
Kemudian Sayyidina Ali menceritakan:
"Setelah itu saya membacanya setiap pagi dan petang dengan tetap dan tekun. Maka Allah mengurniakan kepada saya ingatan yang tidak pernah terlihat oleh mata dan tidak pernah terdengar oleh telinga." Maksudnya beliau dikurniakan dengan ingatan yang sungguh menakjubkan, sehingga beliau mengaku tidak mengetahui adanya sejenis ingatan yang terlalu luar biasa seperti yang dimiliki olehnya. Inilah yang digelarkan 'Ingatan Fotografi'.

Ada lagi amalan-amalan lain yang boleh diamalkan sebagai penerang hati dan mencerdaskan akal contohnya


1. Membaca surah al-Insyirah 11 kali selepas solat Subuh
2. Membaca surah al-Anbiya ayat 79  sebelum matahari terbit sebanyak 10 kali
3. Membaca Bismillah enam. Khasiat Bismillah enam dapat menyinarkan hati dan mencerahkan akal.


Pilih salah satu amalan dan lakukan secara istiqamah...Insyaallah kita akan dapat merasakan keberkesanannya.  

KEHEBATAN ISTIGHFAR


Sebagai Amalan Diluaskan Pintu Rezeki dan Menyucikan Hati

Dalam hidup kita, ada waktunya pelbagai masalah melanda. Dari soal kewangan, pekerjaan, perniagaan, keluarga, kerenah manusia sekeliling kita dan berbagai lagi. Ada kalanya masalah begitu menghimpit, kita akan rasa tertekan dan mungkin ada waktunya kita kecewa dengan kehidupan. Sesekali kita perlu memikirkan sejenak akan banyaknya kurniaan Allah terhadap kita. Jika masalah menghimpit, Allah sediakan jalan untuk kita, salah satunya dengan beristighfar. Istighfar boleh membantu melerai masalah yang kita hadapi.

Berikut adalah petikan artikel yang saya pilih, semoga ianya menjadi pedoman untuk kita semua.

Istighfar bantu umat Islam sucikan hati, dibuka pintu rezeki

APABILA berdepan masalah hidup, fikiran dan perasaan menjadi resah serta bercelaru. Namun, Allah memberikan orang mukmin pelbagai jalan bagi menangani apa saja permasalahan hidup di dunia ini.

Satu daripadanya, amalan istighfar untuk memohon keampunan Allah sebanyak yang boleh setiap hari sebagai ibadah.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Barang siapa memperbanyakkan istighfar, Allah melepaskan segala kesulitannya, menjadikan jalan keluar bagi kesempitannya dan mengurniakannya rezeki dari sumber yang tidak diketahui.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Inilah perkhabaran gembira buat mukmin yang selalu melazimkan istighfar dalam kehidupannya.

Dalam satu riwayat, Ar-Rabi’ bin Sobih berkata kepada Imam Al-Hasan: “Kaum lelaki datang kepadamu dengan mengadu mengenai pelbagai masalah, untuk mereka semua, kamu menyuruh beristighfar.”

Lalu kata Al-Hasan: “Aku tidak berkata apa-apapun daripada pendapatku sendiri, bahkan sesungguhnya Allah mengatakan dalam surah Nuh, Hendaklah kamu memohon ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Dia akan menghantar kepada kamu hujan dengan lebat. Dan memperbanyakkan harta dan anak dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai.” (Surah Nuh, ayat 10-12)

Begitulah kedudukan istighfar sebagai mekanisme menghadapi pancaroba hidup. Tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan seandainya Allah membantu kita, begitulah sebaliknya, tiada apa boleh dilakukan tanpa pertolongan Allah.
Kita seharusnya mengambil iktibar pengajaran kisah Nabi Nuh seperti diceritakan dalam al-Quran ketika Baginda menasihatkan kaumnya memperbanyakkan istighfar kepada Allah supaya segala dosa mereka diampunkan dan Allah memberi limpah kurnia hujan dan menumbuhkan rezeki kepada mereka.

Firman Allah bermaksud: “Dan (dia) berkata, wahai kaumku, mohonlah ampun kepada Tuhanmu lalu bertaubatlah kepada-Nya, nescaya Dia akan menurunkan hujan yang sangat deras atas kamu dan Dia akan menambahkan kekuatan kepada kekuatanmu dan janganlah kamu berpaling dengan berbuat dosa.” (Surah Nuh, ayat 52)

Nyata taubat dan istighfar adalah penyelesaian masalah hidup. Oleh itu, dalam kehidupan serba moden hari ini, amalan taubat dan istighfar mestilah tidak dicuaikan, sebaliknya dijadikan amalan harian khususnya selepas solat wajib mahupun sunat.

Al-Imam Al-Qurthuby mengatakan, taubat dan istighfar seseorang mukmin itu akan diluaskan pintu rezekinya serta mampu menikmati kehidupan dengan tenteram dan bahagia.

Kita mengalami masalah mungkin disebabkan maksiat dan dosa yang kita lakukan, zahir ataupun batin. Dengan tompokan dosa itulah yang menjadi penghalang terbukanya pintu rahmat dan rezeki dari Allah.

Hal itu pernah disuarakan Rasulullah SAW dalam sabda yang bermaksud: “Sesungguhnya seorang hamba itu diharamkan rezeki untuknya disebabkan dosa yang dilakukannya.” ( Hadis riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Hakim).

Sebagai hamba Allah, kita tidak harus lalai daripada bertaubat dan istighfar kerana tiada seorang manusia yang tidak dapat lari daripada melakukan dosa. Untuk melepaskan diri daripada belenggu dosa dilakukan secara sedar atau tidak, ialah dengan memperbanyakkan taubat dan istighfar kepada Allah.

Janganlah menganggap diri kebal atau bersih dosa lantaran sentiasa menuruti apa saja perintah Allah kerana kita mungkin dijangkiti penyakit hati dan dosa maksiat hati juga akan menjadi penyebab timbulnya pelbagai dugaan hidup.

Sesungguhnya, beruntunglah hidup seseorang mukmin yang apabila tergelincir ke lembah dosa dan merasakan dirinya jauh dari Allah, lalu berusaha keras melakukan taubat dan beristighfar. Orang ini akan disucikan kembali hatinya dan kehidupannya pasti disinari kebahagiaan melalui pelbagai nikmat.

Sumber : Berita harian
Penulis asal :Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

10 KEBAIKAN DARI AMALAN BERZIKIR












Menurut Syeikh Hakim Moinuddin Chisti, kita akan mendapat 10 kebaikan kesan dari berzikir. Antaranya ialah:

1. Dapat membentengkan diri daripada bisikan syaitan.
2. Orang yang berzikir akan dilimpahi keredaan Allah
3. Dimurahkan ruang rezekinya
4. Membangkitkan aura sahsiah peribadi murni
5. Menghidup dan menjernihkan hati.
6. Mukmin yang senang berzikir itu akan mencapai taraf hampir dengan Allah
7. Mengelakkan diri daripada sifat mazmumah seperti mengumpat dan mengeji
8. Berupaya membina fikiran yang positif dan dinamik
9. Bersedia untuk hidup penuh berani
10. Dapat menenggelamkan sifat munafiq


Pesan Imam Al-Bukhari: ‘Zikir adalah tugas harian setiap Muslim kerana ia mendatangkan kekuatan dan ketenangan. Berzikirlah setiap masa agar Allah sentiasa ingatkan kita setiap masa.’ Demikian indahnya wasiat beliau kepada kita semua. Biasakanlah hati dan lidah kita berzikir kepada Allah kerana inilah yang dituntut Allah kepada kita.

Allah ada berfirman dalam Surah An-Nisa’ ayat 103 yang bermaksud: ‘Kemudian apabila kamu selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah ketika kamu berdiri atau duduk, dan ketika kamu berbaring.’

Insya-Allah melalui zikir kita dapat menyembuhkan penyakit hati daripada karat debu dosa yang dilakukan. Berzikir juga Allah janjikan akan mengangkat darjatnya seperti dikatakan oleh Rasulullah SAW: “Apakah kamu mahu aku ceritakan kepadamu berkenaan amal perbuatanmu yang terbaik dan yang paling bersih dalam pandangan Allah serta orang yang tertinggi darjatnya di antara kamu, yang lebih baik dari bersedekah emas dan perak serta lebih baik dari memerangi musuh kamu semua dan memotong leher mereka, dan mereka juga memotong leher kamu!” Kemudian sekalian sahabat bertanya: “Apakah itu wahai Rasul?” Baginda SAW menjawab: “Zikir kepada kepada Allah.” – Hadis riwayat Al- Baihaqi

Allah sangat menyukai orang yang lidahnya sentiasa basah dengan zikrullah. Ingatlah bahawa Allah sudah menjanjikan ganjaran pahala yang banyak kepada orang yang berzikir. Hal itu jelas apabila Allah berfirman yang bermaksud: “Golongan lelaki dan wanita yang banyak berzikir kepada Allah, Allah janjikan bagi mereka keampunan serta ganjaran yang besar.” – Surah Al-Ahzab ayat 35

KELEBIHAN SURAH AL-IKHLAS


Doa dapat pahala, terjauh godaan syaitan

Surah Al-Ikhlas disebut surah keselamatan kerana surah ini menyelamatkan orang yang membacanya dari kesulitan-kesulitan dunia juga sakratulmaut, menyelamatkannya dari gelap gelita kubur dan tragedi-tragedi hari kiamat.

Dari Abu Hurairah, Nabi SAW pernah bersabda "Barangsiapa membaca surah Al-Ikhlas, seolah-olah ia membaca sepertiga Al-Quran"

At-Tabrani dan an-Nu'aim mengikhraj dari Rasulullah SAW, baginda bersabda "Barangsiapa membaca surah Al-Ikhlas saat sakitnya yang menghantarnya pada kematian maka ia tidak berjamah fitnah di dalam kubur dan aman dari penyempitan kubur pula ia dibawa malaikat dengan tapak tangannya hingga melampaui sirat sampai syurga"

Terdapat banyak lagi hadis tentang fadhilat amalan membaca surah Al-Ikhlas ini. Di antaranya dapat pahala seratus orang pahlawan syahid (Hadis dari Ubai bin Ka'ab), terjauh godaan syaitan jika dibaca 10 kali selepas solat Subuh (Hadis dari Ali Bin Abi Talib), jika diamalkan membacanya semasa sakit hingga membawa kematiannya, maka akan terlepas dari siksa kubur (Hadis dari At-Tirmizi).

Kisah di dalam Ruhul-Bayan ada menyebutkan;

Pada waktu Nabi SAW di tabuk datang kepada baginda malaikat Jibril. "Rasulullah, saya khabarkan bahawa Mu'awiyah al Muzani ra telah meninggal di Madinah. Apakah engkau berkenan jika bumi ini saya lipat, agar engkau menyembahyangkan jenazah Mu'awiyah". "Boleh saja" jawab baginda, maka Jibril membentangkan sayapnya di atas bumi dan diangkatnya Nabi sampai Madinah lalu menyembahyangkan jenazah Mu'awiyah dan para malaikat menjadi makmum dua saf (barisan) dimana satu saf berjumlah tujuh puluh ribu malaikat.

Selesai sembahyang baginda bertanya "Oleh sebab apa Mu'awiyah berpangkat demikian tinggi?" Malaikat Jibril menjawab "Oleh kerana Mu'awiyah cinta dan membaca qul hu wallahu ahad sewaktu pagi dan petang, ketika berdiri dan duduk dan pada setiap gerak-gerinya."

Surah Al-Ikhlas juga mempunyai fadhilat melapangkan rezeki dan menolak kefakiran bagi pembacanya serta penghuni rumah dan tetangganya. Dalam kitab Sa'adatul Darain, Rasulullah SAW bersabda " Barangsiapa membaca surah Al-Ikhlas ketika memasuki rumah, maka hilanglah kefakiran penghuni rumah dan tetangganya" (HR At-Tabrani dan Ibnu Mas'ud).

Di dalam kitab Fawaid as-Syarji menyebutkan: Bahawasanya ada seorang mengadu tentang kefakirannya kepada Nabi SAW, maka baginda bersabda "Ketika masuk rumah bacalah surah Al-Ikhlas". Kemudian lelaki itu melaksanakannya dengan cara seperti itu, maka Allah SWT melapangkan rezeki kepadanya dengan berkat surah Al-Ikhlas.

Surah Al-Ikhlas jika dibaca 11 kali selepas tiap kali sembahyang fardhu, insyaallah akan ditetapkan iman.

Imam Hanbali rahimahullah berkata, barangsiapa yang melalui kawasan perkuburan dan menghadiahkan 11 kali surah Al-Ikhlas kepada penghuni kubur itu, maka ia akan dapat pahala sebanyak mana mayat yang ditanam disitu.

Membaca surah Al-Ikhlas sebanyak 3 kali pahalanya menyamai membaca 30 juzuk Al-Quran. Bagaimanapun bagi sesetengah orang ia menjadi berat untuk dilakukan oleh kerana banyaknya dosa yang ditanggung.

Mengikut pengalaman ornag yang mengamalkan surah Al-Ikhlas ini, apabila kehilangan sesuatu barang, bacalah surah ini sebanyak 21 kali sambil mencari barang tersebut.

AMALAN ZIKIR UNTUK AWET MUDA DAN CANTIK


Setiap wanita pasti ingin kelihatan menarik, tak kira tua atau muda. Menarik dan menawan tak semestinya waktu muda saja, walau berusia, sesorang wanita itu boleh kelihatan menarik dan mempesona. Kata pepatah Inggeris, ‘look great at your age’. Jadi petua di bawah ini boleh diamalkan oleh sesiapa saja, samada tua atau muda.


Petua ini diajarkan oleh Dato’ Dr. Fatma El-Zahra untuk awet muda, menawan dan berseri. Kita boleh amalkan kesemua cara-cara di bawah ataupun boleh amalkan 1 cara sahaja, asalkan kita istiqamah mengamalkannya.


Cara 1:
Dilakukan selepas solat Isyak
·         ambil air segelas
·         baca al-Fatihah sekali
·         Ayatul Qursi sekali
·         Surah Al-Waqiah ayat 35-38 sebanyak 7 kali.
·         Tiup dalam air dan minum. Niat dlm hati utk menjaga kecantikan diri & utk kebahagiaan rumahtangga.
Surah al-waqiah ayat 35 -38

Cara 2:
Zikir di bawah dibaca untuk kita sentiasa kelihatan berseri, awet muda luaran dan dalaman, amalkan membaca zikir dengan cara seperti berikut :
  • Baca ” Ya Badiyah ” 1 x
  • Baca ” Ya Nur ” 1x
  • Baca ” Ya Hadi ” 1 x
  • Baca ” Ya Allah ” 3x
Baca zikir di atas dan tiup ke tapak tangan, kemudian sapu ke muka kita. Lakukan setiap hari.

Cara 3:
  Amalkan membaca ayat2 seperti berikut ;
  • Baca ayat ke 35, 36, 37 dan 38 dari surah al-Waqiah pada tiap selepas solat subuh.
  • Selepas baya ayat2 ini, hembuskan pada air dan kemudian minum air tersebut.
Kaedah ini diamalkan supaya kelihatan cantik, muda dan bertenaga luar dan dalam.

KEJAIBAN SEDEKAH


Baru-baru ni sewaktu nak kesekolah, anak kak melur (km) complain, katanya kawan sebelahnya tiap-tiap hari pinjam pensilnya. Dia (kawannya) ada pensil tapi macam orang takde pensil, rungutnya.


"Apa salahnya kakak pinjamkan pensil kakak kat dia?...kalau dia nak pinjam tiap-tiap hari pun, bagi je lah. Kakak kan banyak pensil, anggap je kakak bersedekah kat dia. Setiap huruf yang dia tulis menggunakan pensil kakak tu umpama sedekah kakak pada dia. Sedekah ni pahalanya sangat hebat" km cuba memujuknya.

"betul ke bu?"

"Ya, cuba dengar cerita ni yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW" km pun mula bercerita tentang cerita  "Saidina Ali dan sepuluh buah delima"



Dikisahkan oleh Ka’ab bin Akhbar.
Ketika Siti Fatimah Az Zahra, Puteri Rasulullah SAW, yang juga isteri kepada Sayidina Ali bin Abi Thalib sakit, ia ditanya oleh Sayidina Ali,  ” Wahai Fatimah, adakah engkau menginginkan sesuatu?”
“Wahai Suamiku, aku ingin sekali buah delima”, Jawabnya.

Sayidina Ali termenung, ia tidak memiliki wang sedikitpun. Namun, ia segera berangkat dan berusaha untuk mencari wang satu dirham untuk mendapatkan buah delima yang diinginkan isterinya itu. Akhirnya Sayidina Ali mendapatkan wang itu dan kemudian ia pergi ke pasar untuk membeli buah delima dan segera kembali pulang.
Namun di tengah perjalanan menuju rumahnya, tiba-tiba ia melihat seseorang yang tengah terbaring sakit di tepi jalan, maka Sayidina Ali pun berhenti dan menghampirinya.

“Wahai orang tua, apa yang diingini oleh hatimu?”, tanya Sayidina Ali.
“Wahai Ali, sudah lima hari aku terbaring sakit di tempat ini, banyak orang berlalu, namun tak ada seorang pun dari mereka yang bertanya tentangku. Aku ingin sekali makan buah delima. Jika aku makan buah delima, rasanya sakitku bertambah baik” Jawab orang tua tersebut.

Mendengar jawabannya, Sayidina Ali terdiam, sambil berkata dalam hati,

“Buah delima yang hanya satu buah ini, sengaja telah aku beli untuk Isteriku, kalau aku berikan kepada orang ini, pasti Fatimah akan sedih. Namun jika tidak aku berikan ertinya aku tidak menepati firman Allah,
“Terhadap si pengemis, engkau janganlah menghardiknya. ” (QS. Al-Dhuha : 10).

Juga sabda Nabi SAW, ” janganlah sekali-kali engkau menolak pengemis, sekalipun ia di atas kenderaan”.
Maka kemudian Sayidina Ali membelah buah delima itu menjadi dua bahagian, separuh untuk orang tua itu dan separuh lagi untuk Siti Fatimah. Selepas makan buah delima yang separuh itu, orang yang sakit itu berkata "Sakitku ini telah baik, namun jika aku makan separuh lagi, nescaya aku boleh berjalan dan bekerja. Mendengar kata-kata lelaki itu, Saidina Ali pun memberi separuh lagi delima itu.

Sesampai di rumah ia menceritakan peristiwa itu kepada Isterinya, dan Siti Fatimah berkata kepadanya,
“Wahai Suamiku, kenapa engkau bersedih, demi Allah yang maha Perkasa dan Maha Agung, ketika engkau memberikan buah delima kepada orang tua itu, maka puaslah hatiku dan lenyaplah keinginanku pada buah delima itu.”

Mendengar kenyataan Isterinya itu Sayidina Ali merasa sangat gembira.
Tidak lama kemudian datanglah seorang tamu yang mengetuk pintu, lalu Sayidina Ali berkata, “Siapakah tuan?”

“Aku Salman Al Farisi,” Jawab orang yang mengetuk pintu itu.
Setelah pintu dibuka, Sayidina Ali melihat Salman membawa sebuah wadah tertutup, dan diletakkkan di depan Sayidina Ali, lalu Sayidina Ali bertanya,

“Dari manakah wadah ini wahai Salman ?”.
“Aku menghantarkannya untukmu dari Allah SWT melalui perantaraan Rasulullah SAW.” Jawabnya.
Setelah penutup wadah tersebut dibuka, terlihat di dalamnya ada Sembilan buah delima. Sayidina Ali terus berkata,

“Wahai Salman, jika ini memang untukku, pasti jumlahnya Sepuluh”.
Lalu ia membacakan firman Allah SWT,
“Barangsiapa membuat satu amal kebaikan, maka pasti baginya sepuluh kali ganda amalnya ( balasannya )”. ( Al-An’am : 160 )

Salman pun tertawa mendengarnya, sambil mengembalikan sebuah Delima yang ada ditangannya, seraya berkata,
“Wahai Ali, demi Allah, aku hanya sekadar menguji sejauh mana KEYAKINANMU terhadap firman Allah yang engkau bacakan sebentar tadi.”

Adakalanya, Allah SWT  membalas amal sedekah kita bukan dalam bentuk harta dan wang ringgit, tapi dikurniakan kehidupan yang sejahtera dan penuh berkah, anak-anak yang bijak, soleh dan solehah, kesihatan yang baik, keperluan yang mencukupi atau sesuatu yang di luar jangkauan pemikiran kita. Ada masanya Allah simpan amalan sedekah kita sebagai pahala akhirat. Sedekah yang ikhlas kerana Allah, sangat tinggi nilainya di sisi Allah.


Surah al-Baqarah ayat 261 adalah antara ayat suci al-Quran yang popular dalam membuktikan kelebihan bagi mereka yang bersedekah. Allah berfirman yang bermaksud: Perumpamaan nafkah yang dikeluarkan oleh orang-orang yang menafkahkan hartanya pada jalan Allah adalah seperti sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir dan daripada setiap butir, tumbuh pula 100 butir benih. Allah melipatgandakan ganjaran bagi sesiapa yang yang dikehendakinya. Allah Maha Luas Kurnianya lagi Maha Mengetahui.

SEDEKAH 7000 PAHALA


Pahala sedekah dapat dibahagikan kepada 4 jenis

  1. Sedekah yang mendapat pahala sepuluh
  2. Sedekah yang mendapat pahala tujuh puluh
  3. Sedekah yang mendapat pahala tujuh ratus
  4. Sedekah yang mendapat pahala tujuh ribu
Sedekah yang mendapat sepuluh pahala ialah pemberian makan kepada fakir miskin
Sedekah yang mendapat pahala tujuh puluh ialah sedekah yang diberikan kepada keluarga terdekat
Sedekah yang mendapat pahala tujuh ratus ialah sedekah yang diberikan kepada kawan-kawan dan sahabat-sahabat
Sedekah yang mendapat pahala yang mendapat pahala tujuh ribu ialah sedekah yang diberikan kepada orang yang mencari ilmu.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 271:
"Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terangan)maka yang demikian adalah baik (keranan menjadi contoh yang baik) dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu, dan Allah akan menghapuskan bagi kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah) Allah maha mengetahui secara mendalam apa yang  kamu lakukan."